Hakikat Dua Kalimah Syahadat - 8

Ceramah dirakam pada 03 hb Oct 2011 selama 1 jam 13 minit

KEUTAMAAN AQIDAH

Islam ertinya tunduk, patuh dan menyerahkan diri sepenuhnya kepada kehendak Allah. Ketundukan dan kepatuhan sedemikian rupa terhadap segala perintah dan larangan Allah tidak akan mungkin terjadi tanpa keyakinan yang mantap terhadap Dzat dan segala sifat kesempurnaan-Nya. Oleh sebab itu seseorang tidak mungkin akan menjadi muslim yang baik tanpa terlebih dahulu memiliki aqidah yang sahih dan konsep ketuhanan yang mantap.

Bukti sungguh banyak untuk diketengahkan bahawa Islam adalah agama yang mengutamakan aqidah melebihi bidang-bidang lain, antara lain:

Pertama: Dalam sejarah dakwah Rasulullah s.a.w. selama lebih kurang 23 tahun di Makkah dan Madinah membuktikan bahawa lebih daripada separuh masa itu baginda gunakan semata-mata untuk menanamkan aqidah hanya bertuhankan Allah dan membersihkan umat daripada segala jenis syirik. Ibadat solat diperintahkan setelah lebih kurang 12 tahun daripada kerasulan atau setahun sebelum hijrah. Ibadat puasa, zakat dan haji kesemuanya diperintahkan setelah hijrah. Langkah Nabi mendahulukan urusan aqidah daripada urusan ibadah dan lain-lain adalah sangat wajar dan tepat sekali kerana semua aktiviti manusia terutama ibadat-ibadat mereka mesti dipersembahkan kepada Allah S.W.T., dan bagaimana kesemuanya itu dapat dilaksanakan seandainya mereka sendiri masih kabur terhadap konsep ketuhanan? Di sinilah rahsianya mengapa aqidah mesti sentiasa diberi keutamaan melebihi daripada yang lain.

Kedua: Tertib urutan rukun Islam yang lima menggambarkan betapa istimewanya aqidah. Aqidah Islamiyah tersimpul di dalam dua kalimah syahadat. Kedudukannya tertera secara tertib mengatasi rukun-rukun yang lain. Malahan semua jenis ibadat termasuk ibadat solat terletak di bawahnya. Padahal solat adalah tiang agama. Hakikat ini seolah-olah menggambarkan bahawa segala ibadah termasuk ibadat solat tidak akan diterima oleh Allah S.W.T. tanpa terlebih dahulu membetulkan aqidah.

Ketiga: Seluruh ayat-ayat al-Quran sebenarnya mengandung unsur-unsur tauhid sama ada secara tersurat ataupun secara tersirat kerana al-Quran sama ada memberitakan tentang Allah, nama- nama-Nya, sifat-sifat-Nya, perbuatan-Nya, perkataan-Nya, ataupun mengandung ajakan agar menyembah Allah, larangan menyekutukan-Nya, ataupun mengandungi perintah dan larangan-Nya, mematuhi-Nya, ataupun mengandungi ikram (memuliakan) ahli tauhid di dunia dan ganjaran untuk mereka di akhirat, ataupun khabar tentang ahli syirik serta ancaman ke atas mereka di dunia ataupun seksaan di akhirat. Pokoknya setiap ayat al-Quran tidak kosong dengan unsur-unsur tauhid sama ada secara nyata ataupun secara tersembunyi.

Keempat: Sebagai contoh untuk membuktikan kebenaran bukti ketiga di atas cuba perhatikan tafsir singkat surah al-Fatihah. Surah ini dinamakan juga dengan ummu Al-Quran atau ummu al- Kitab kerana ia mengandungi unsur-unsur utama al-Quran al-Karim. Surah ini mengandungi pengenalan terhadap Dzat yang wajib disembah, tentang nama-nama dan sifat-sifat Allah, tentang rububiyyah dan uluhiyyah-Nya tentang hari berbangkit, pembalasan dan hari akhirat, tentang kenabian, tentang malaikat dan kadar Allah S.W.T. walaupun secara tersirat.

Adapun pengenalan terhadap Dzat yang wajib disembah ialah melalui nama Allah S.W.T., al-Rabb dan al-Rahman, tentang rububiyyah dan uluhiyyah Allah S.W.T. melalui ayat al-Hamdulillahi, Rabbil ‘Alamin, Iyyakana’budu Wa lyyaka Nasta’iin, tentang hari pembalasan pula ayat Maaliki Yaumid Din, dan tentang kenabian dan malaikat pula ialah dapat disimpulkan daripada ayat Ihdinas Siraatal Mustaqiim. Allah S.W.T. tidak redha disembah melainkan dengan cara yang ditetapkan-Nya. Oleh itu Allah memilih daripada kalangan manusia untuk bertugas sebagai utusan-Nya di muka bumi, dan setiap rasul mendapat pesanan Allah melalui wahyu. Jadi secara tersirat ayat Ihdinas Siraatal Mustaqiim mengandung keyakinan percaya kepada nabi-nabi, wahyu dan malaikat. Adapun tentang percaya kepada takdir diambil daripada ayat Ihdinas Siraatal Mustaqiim hingga Wa Ladh Dhaalliin kerana kita memohon hidayah atas dasar keyakinan kita bahawa segala sesuatu hanya terletak di tangan Allah S.W.T. Allahlah yang berkuasa memberi seseorang hidayah kepada seseorang ataupun sebaliknya, dan keyakinan ini termasuk di dalam cabang iman kepada takdir.

Kelima: Lima ayat pertama daripada surah al- Baqarah lagi-lagi menyatakan betapa pentingnya kedudukan aqidah yang sahihah. Dalam ayat-ayat tersebut terdapat lima sifat utama bagi orang-orang yang bertaqwa:

  1. Mereka beriman kepada yang ghaib.
  2. Mereka mendirikan ibadah solat.
  3. Mereka menafkahkan sebahagian daripada harta mereka.
  4. Mereka percaya kepada kitab-kitab yang diturunkan.
  5. Mereka yakin akan adanya hari akhirat.

Kalau kita perhatikan ciri-ciri tersebut ternyatalah bahawa faktor aqidah menjadi syarat utama untuk menjadi orang yang bertaqwa.
Keenam: Andaikata kita perhatikan dengan saksama urutan ayat-ayat al-Quran maka kita akan menemui perintah yang pertama sekali daripada Allah kepada umat manusia terdapat pada ayat yang ke-21 daripada surah Al-Baqarah. Dan ternyata perintah yang pertama itu mengandung unsur aqidah dan tauhid yang paling dituntut iaitu:

يَـٰٓأَيُّہَا ٱلنَّاسُ ٱعۡبُدُواْ رَبَّكُمُ ٱلَّذِى خَلَقَكُمۡ وَٱلَّذِينَ مِن قَبۡلِكُمۡ لَعَلَّكُمۡ تَتَّقُونَ

Maksudnya:

“Hai manusia, sembahlah Tuhanmu yang telah menciptakanmu dan orang-orang yang sebelummu, agar kamu bertaqwa.”
(Al-Baqarah / 2: 21)

Ayat ini mengandung tauhid uluhiyyah atau tauhid ibadah iaitu jenis tauhid yang membezakan antara muslim dengan bukan muslim.

Ketujuh: Sebenarnya ibadah solat bukanlah arahan pertama yang dibebankan oleh agama kepada ibubapa supaya ditanamkan pada jiwa anak-anak mereka. Sebenarnya jauh sebelum itu iaitu sejak umur bayi beberapa saat daripada kelahirannya orang tua telah diperintahkan oleh agama agar menanamkan aqidah yang sahih kedalam jiwa anaknya. Orang tua diperintahkan agar mengazankan pada telinga kanan dan mengiqamahkan pada telinga kiri bayi.

Sabda Rasulullah s.a.w.:

Maksudnya:

“Barangsiapa yang dikurniakan anak lalu diazankan pada telinga kanan bayinya dan diiqamatkan pada telinga kirinya nescaya akan terhindar bayi tersebut daripada gangguan syaitan.”
(H.R Al-Baihaqi dan Ibnu Al-Sunny)

Maksudnya:

“Bukakanlah pendengaran bayimu pertama-tama dengan kalimah tauhid: (Laa Ilaaha Illallah)”
(H.R Al-Haakim)

Daripada hadis-hadis di atas nyatalah betapa pentingnya kedudukan aqidah dalam kehidupan umat manusia. Diharapkan mudah-mudahan dengan benteng tauhid yang diperdengarkan melalui azan dan iqamat pada telinganya, bayi tersebut tidak mudah diganggu dan digoda oleh syaitan dan iblis.

Malahan lebih daripada itu, aqidah bukan hanya diperlukan pada awal kehidupan manusia tetapi lebih-lebih lagi dituntut pada penghujung hayatnya. Sabda Rasulullah s.a.w.:

Maksudnya:

“Barangsiapa yang berkata “Laa Ilaaha Illallaah” pada akhir hayatnya nescaya ia masuk syurga.”
(H.R Abu Daud)

Maksudnya:

“Ajarkanlah orang yang akan mati di antara kamu dengan kalimah Laa Ilaaha Illallaah.”
(H.R. Muslim)

Kelapan: Daripada Ibnu Abbas Radhiallaahu ‘Anhumaa, sesungguhnya Rasulullah s.a.w. ketika baginda akan mengutus Mu’az Bin Jabal ke Yaman, baginda bersabda kepada Mu’az:

Maksudnya:

“Sesungguhnya engkau akan mendatangi satu kaum dari Ahli Kitab, maka jadikanlah dakwahmu yang pertama sekali kepada mereka syahadat Laa Ilaaha Illallaah – dan pada riwayat lain - kepada mengEsakan Allah - dan sekiranya mereka mematuhimu dalam perkara itu maka maklumkanlah kepada mereka bahawa Allah mewajibkan ke atas mereka solat lima waktu dalam sehari semalam, dan sekiranya mereka mematuhimu dalam perkara itu maka maklumkanlah kepada mereka bahawa Allah mewajibkan ke atas mereka zakat yang diambil daripada orang-orang kaya untuk diberikan kepada orang-orang miskin dari kalangan mereka .......”
(H.R Bukhari dan Muslim)

Hadis di atas menyatakan dengan jelas kepada kita betapa kedudukan dan keutamaan masalah aqidah. Aqidah mengatasi masalah-masalah lain daripada cabang-cabang Islam. Hakikat ini hendaknya disedari oleh setiap muslim khasnya para pendakwah dan muballigh.

Menurut hemat saya urutan tertib dakwah di sesetengah negara Islam belum lagi mengikuti sepenuhnya hasrat Rasulullah s.a.w. sebagaimana yang tergambar di dalam hadis di atas. Masih banyak lagi pendakwah-pendakwah yang menumpukan sepenuhnya ajarannya kepada ibadah-ibadah pokok. Ibadah solat dikaji dengan begitu mendalam sama ada tentang rukun syaratnya mahupun perkara- perkara yang boleh membatalkannya. Demikian pula ibadah puasa, zakat dan haji.

Ada golongan yang terlalu ghairah dengan revolusinya menentang kuffar. Ada pula kelompok yang terlalu mementingkan bentuk pakaian dan aspek ekonomi Islamnya. Tetapi sayangnya jika diperhatikan aspek aqidah mereka ternyata banyak bercampur dengan unsur-unsur yang tidak islamik.

Dengan kenyataan ini bukanlah bermakna saya tidak setuju dengan usaha-usaha mendalami masalah ibadah, dan bukan bermakna saya tidak iktiraf adanya unsur jihad dalam Islam untuk menentang kuffar, dan bukan pula saya tidak setuju dengan usaha-usaha untuk memajukan ekonomi Islam.

Saya sangat setuju terhadap usaha-usaha untuk mendalami ibadat-ibadat di atas. Saya bangga dengan mereka yang terlibat secara langsung atau tidak langsung menentang kuffar. Saya juga berbangga dengan usaha-usaha memajukan ekonomi Islam. Adalah salah pandangan orang- orang yang memperkecil-kecilkan aspek ibadah, aspek jihad dan ekonomi dalam Islam.

Yang menjadi persoalan di sini hanyalah sikap yang terlalu mengambil berat kepada perkara- perkara tersebut, tetapi mengabaikan aspek aqidah yang sewajarnya mesti diberi keutamaan.

Bukankah segala aktiviti yang kita lakukan seharian semata-mata kerana kita ingin mendapat keredhaan Allah S.W.T.? Apakah Allah S.W.T. akan meredhai orang-orang yang aqidahnya masih bercampur syirik? Apakah Allah akan menerima amalan atau aktiviti orang-orang yang rosak aqidahnya? Bukankah kesahihan aqidah menjadi syarat agar amalan kita diterima oleh Allah? Sungguh banyak ayat-ayat al-Quran yang memperkatakan perkara ini.

Agaknya inilah rahsianya mengapa baginda Rasulullah s.a.w. memberi prioriti (keutamaan) dalam dakwahnya kepada aspek aqidah melebihi daripada aspek-aspek lain.

Kesembilan: Aqidah yang bersih daripada sebarang syirik adalah menjadi syarat agar kita mendapat hidayah dan terhindar daripada seksaan Allah. Hakikat ini dinyatakan oleh Allah S.W.T. dalam al-Quran melalui firman-Nya:

ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ وَلَمۡ يَلۡبِسُوٓاْ إِيمَـٰنَهُم بِظُلۡمٍ أُوْلَـٰٓٮِٕكَ لَهُمُ ٱلۡأَمۡنُ وَهُم مُّهۡتَدُونَ

Maksudnya:

“Orang-orang yang beriman dan mereka tidak mencampur-adukkan iman mereka dengan kezaliman (syirik), mereka itulah orang-orang yang mendapat keamanan dan mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk.”
(Al-An’aam / 6: 82)

Daripada Ibnu Mas’uud: Ketika ayat di atas diturunkan banyaklah daripada sahabat yang bertanya: Ya Rasulullah siapa di antara kami yang tidak berbuat zalim pada dirinya sendiri ? Rasulullah s.a.w. lalu menjawab: Bukanlah yang dimaksudkan zalim pada ayat itu sebagaimana yang kamu maksudkan ! Apakah kamu belum mendengar perkataan Luqman di dalam al-Quran (Luqman / 31: 13)

Maksudnya:

“Hai anakku, janganlah kamu mempersekutukan Allah, sesungguhnya mempersekutukan Allah (syirik) itu adalah benar-benar kezaliman yang besar.”
(H.R Imam Bukhari)

Jadi maksud kezaliman yang terdapat dalam ayat 82 surah Al-An’aam ditafsirkan oleh ayat 13 surah Luqman iaitu syirik. Dengan ini yakinlah kita bahawa keamanan daripada seksaan Allah serta hidayah hanya akan diperolehi oleh orang-orang yang tidak mencampur-adukkan iman mereka dengan segala jenis syirik, Wallaahu A’lam.